Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjaya kutip RM9.1 juta



Kuala Lumpur, 22 Okt 2019

Kempen Tabung Pahlawan 2019 yang bermula Ogos lalu berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM9.1 juta. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, jumlah kutipan itu melepasi sasaran RM6 juta dan kempen yang diurus oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) itu akan diteruskan sehingga Februari tahun depan. "Setakat hari ini, jumlah kutipan berjaya melebihi sasaran iaitu sebanyak RM9.1 juta dan diharap jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa. Antara penyumbang terbesar adalah ADAP 4orty Global Sdn Bhd, Yayasan Al-Bukhary dan Weststar Group. "Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang yang menunjukkan keprihatinan di atas pengorbanan pahlawan-pahlawan negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira ATM di sini malam tadi.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga Penaung Kempen Tabung Pahlawan. Hadir sama, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral, Dato' Dzulkarnain Ahmad. Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hasil kutipan itu akan dimasukkan ke dalam Dana Tabung Pahlawan untuk dimanfaatkan bagi tujuan bantuan kebajikan kepada veteran ATM dan ahli keluarga secara menyeluruh. "Ia merangkumi veteran kelainan upaya (VKU), bantuan kepada balu dan anak-anak veteran dalam kategori orang kelainan upaya (OKU), memberi bantuan kepada veteran yang terlibat dalam musibah dan sebagainya. "Kita juga sedia maklum bahawa 31 Julai telah diisytiharkan sebagai Hari Pahlawan yang mana ia merupakan platform bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara," katanya.

Terdahulu, Siti Hasmah membuat penampilan istimewa menerusi persembahan gesekan biola. Beliau yang mempersembahkan empat lagu iaitu Pahlawanku, In Your Eyes, Coming Home dan Selendang Sutera mempersonakan semua tetamu yang hadir dengan gesekan biola yang begitu menyentuh hati. Kesemua lagu itu ditujukan khas bagi menghargai jasa dan pengorbanan pahlawan negara.

Kredit - Nurul Huda Husain, Sinar Harian (https://www.sinarharian.com.my)