JHEV ATM mohon syarikat korporat tampil menyumbang Tabung Pahlawan 2019



Kuala Lumpur, 1 Oktober 2019

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memohon lebih banyak syarikat korporat untuk tampil memberikan sumbangan sempena Kempen Tabung Pahlawan 2019. Ketua Pengarahnya, Datuk Dzulkarnain Ahmad, berkata sebelum ini kebanyakan syarikat korporat yang menyumbang adalah syarikat yang berurusan dengan Kementerian Pertahanan. Justeru, pihaknya meminta supaya lebih banyak syarikat korporat yang tidak berurusan secara langsung dengan Kementerian Pertahanan, tampil menyumbang.

"Tahun ini kita lebih memberi tumpuan kepada syarikat korporat yang tidak berurusan dengan kementerian, kerana Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpendapat sudah sampai masa syarikat korporat lain tampil memberikan sumbangan.

"Keamanan negara bukan hanya dikecapi beberapa pihak, ia dikecapi oleh semua maka sampai masa kita mohon kepada peniaga, syarikat korporat bahkan individu untuk bekerjasama sebab tabung ini untuk membantu veteran yang dikenali juga sebagai pahlawan negara, bukan untuk hidup mewah tetapi selesa," katanya.

Beliau berkata ditemui pada Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan, di sini, hari ini. Terdahulu, Mohamad mengadakan pertemuan dengan pihak media diikuti jamuan makan tengah hari. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid. Mengulas lanjut, Dzulkarnain berkata, satu lagi program dalam Kempen Tabung Pahlawan adalah kutipan jalanan yang akan dilakukan sendiri oleh veteran ATM.

"Kutipan jalanan ini sebenarnya bukanlah untuk kutipan dana, kita kumpul dana dari sumbangan, objektif kutipan jalanan adalah untuk mendekatkan veteran ATM dengan masyarakat.

"Mereka (veteran ATM) sendiri akan bawa tabung dan berjumpa pelbagai lapisan masyarakat, ketika itu mereka ini boleh bertanya kepada veteran kita pengalaman mereka, kita mahu semai patriotisme di kalangan masyarakat.

"Jika ada kanak-kanak sumbang 10 sen pun kita hargai, ini kerana dengan menyumbang walau 10 sen ia menunjukkan dia ada perasaan untuk menghargai sumbangan pahlawan negara," katanya.

Kredit - Berita Harian ONLINE (https://www.bharian.com.my)