KEMPEN TABUNG PAHLAWAN

Kempen Tabung Pahlawan (KTP) mula dilaksanakan pada tahun 1950 di bawah kastodian Persatuan Bekas Tentera Malaya (Ex Service Association of Malaya) pada ketika itu di bawah teraju Bekas Tentera British di Malaya. Persatuan Bekas Tentera Malaya yang dianggotai oleh Bekas Tentera British berkhidmat di Malaya selepas Perang Dunia II, iaitu nama asal Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) yang kini dikenali sebagai Persatuan Veteran ATM (PVATM). Pada awalnya Kempen Tabung Pahlawan dikenali sebagai “Poppy Day” iaitu persamaan dengan kempen yang diadakan di Britain. Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, nama Poppy Day ditukar kepada Tabung Pahlawan di mana lambang bunga poppy telah ditukar kepada lambang bunga raya. Pada tahun 2013, Tabung Pahlawan telah mengalami penjenamaan semula di mana nama Rayuan Hari Pahlawan telah ditukar kepada “Kempen Tabung Pahlawan” dibawah pengurusan PVATM.

Tabung Pahlawan juga telah mendapat pelepasan cukai dari LHDN. Pada tahun 2019, JHEV ATM telah dipertanggungjawabkan untuk membuat kempen dan kutipan Tabung Pahlawan. Kempen Tabung Pahlawan Tahun 2019 diteruskan bermula dari bulan Julai sehingga September 2019 dengan sasaran maksimum kutipan RM 5 Juta. Penaung Tabung Pahlawan 2019 ialah isteri Perdana Menteri YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohamad Ali.





Tujuan Kempen Hari Pahlawan dibuat secara menyeluruh untuk mencapai objektif-objektif seperti berikut:

  1. Untuk memberi kesedaran kepada rakyat dan masyarakat di atas pengorbanan dan jasa bakti para pahlawan tanah air yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara yang selama ini menghasilkan keamanan dan kemakmuran berterusan dengan menganjurkan pelbagai program bagi tujuan tersebut


  2. Untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara terutama di kalangan remaja dan belia-belia supaya menghayati perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah air. Ini termasuk memberi penerangan kepada pelajar-pelajar sekolah bagi mengenang jasa pahlawan tanah air serta menyemai semangat nasionalisme dan patriotisme.


  3. Untuk mengumpul dana khusus untuk memberi bantuan kepada bekas-bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan seperti bantuan sara hidup bagi mereka yang tidak berkemampuan dan tercedera, keperluan perubatan dan rawatan, bantuan pendidikan sekolah dan pengajian tinggi dan sebagainya yang berunsurkan kebajikan.