Ning sebak dendang lagu Perwira

Sumber: Berita Harian

PETALING JAYA, 19 OGOS 2020: Penyanyi, Ning Baizura sebak ketika menyampaikan lagu Perwira di hadapan insan yang sepanjang hidupnya sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Perwira yang juga lagu tema Kempen Tabung Pahlawan 2020 dihasilkan secara kerjasama antara Media Prima Berhad (MPB) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM).

Ning berkata, dia bukan sahaja menghayati melodi dan lirik yang penuh bermakna, tetapi sebak menyampaikan lagu berkenaan di hadapan bekas anggota keselamatan negara.

“Ketika merakamkan lagu ini, saya belum menjiwai semangatnya seperti hari ini. Namun, ketika menyampaikan lagu ini sebentar tadi saya amat bangga, besar hati dan bersyukur kerana suara saya menjadi wakil untuk kempen ini.

“Apabila berada dalam studio, semangat yang ditunjukkan ahli veteran ATM dan anak mereka sangat berbeza. Saya dapat rasakan kesedihan dan keperitan perasaan dialami. Saya bersyukur dapat menyampaikan cerita dalam sebuah lagu.

Isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Yaakob memasukkan wang dalam tabung ketika majlis pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya. Turut hadir, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Bercerita mengenai lagu ciptaan bersama Aubrey Suwito dan Datuk Ahmad Izham Omar itu, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Curiga dan Dugaanku itu berkata, lagu Perwira bukanlah seperti lagu patriotik biasa.

“Lagu Perwira menjadi penyambung nadi untuk tentera darat, laut dan udara. Untuk memberitahu masyarakat supaya dapat menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.

“Walaupun lirik lagu ini ditulis dengan kesederhanaan, tetapi pada masa sama, masih memberi impak patriotik dalam diri. Mungkin tak ramai yang dapat rasakan, tetapi apabila mereka dengar lagu ini, ia hampir kepada lagu balada yang biasa diperdengarkan.

“Istimewanya adalah pada bahagian koir dan ikrar yang diselitkan dalam lagu ini,” ujar penyanyi berusia 45 tahun ini.

Sempena kemunculan lagu Perwira, pelbagai pelan promosi sudah diatur untuk penyanyi bersuara soprano itu antaranya sesi temubual bersama stesen radio dan persembahan untuk program televisyen terbitan MPB.

“Selain itu, saya turut merakamkan muzik video dan bakal dilancarkan, tidak lama lagi. Saya harap kempen ini berjaya meraih kutipan jutaan ringgit, sekali gus dapat membantu mereka yang memerlukan,” ujar Ning optimis.