My Veteran My Hero-charity Golf Kempen Tabung Pahlawan (KTP)

KUALA LUMPUR, 13 MAC 2021 – Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Kementerian Pertahanan dan The Mines Resort and Golf Club (MRGC) telah mengadakan kerjasama strategik MY VETERAN MY HERO-CHARITY GOLF KEMPEN TABUNG PAHLAWAN bermula pada 13 Mac 2021 sehingga 15 Disember 2021 bagi mengumpul dana dalam tempoh jangka panjang untuk Kempen Tabung Pahlawan (KTP).
Program ini merupakan sumbangan daripada YBhg Tan Sri Lee Kim Yew, Pengerusi The Mines Resort and Golf Club dalam bentuk in-kind iaitu kebenaran eksklusif kepada KTP untuk menganjurkan program golf amal di MRGC. Kebenaran eksklusif ini membawa maksud semua bayaran permainan golf bagi walk-in golfers dan guest of the club members pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pada 13 Mac sehingga 15 Disember 2021 ditetapkan pada kadar RM1,000.00 per pax dan keseluruhan jumlah bayaran tersebut adalah merupakan sumbangan KTP. Walau bagaimanapun, kebenaran eksklusif ini adalah tertakluk kepada had maksimum 2,500 orang pemain sahaja.

Projek kerjasama ini adalah yang julung-julung kali diadakan antara kedua pihak selaras dengan hasrat Pengasas MRGC, Tan Sri Lee Kim Yew dalam menunjukan manifestasi penghargaan bagi membalas jasa Veteran-Veteran ATM yang berjuang kepada negara. Objektif kerjasama ini adalah untuk mengumpul dana bagi membantu Veteran ATM dan keluarga mereka yang memerlukan. Tema kerjasama ini adalah “They fight for us, we fight for them”.JHEV ATM, Kementerian Pertahanan, merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg Tan Sri Lee Kim Yew dan MRGC di atas jasa baik untuk mengadakan kerjasama ini dan berharap program ini dapat diadakan secara berterusan agar Kempen Tabung Pahlawan mampu mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Adalah diharapkan usaha murni yang terjalin ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak di samping mengalakkan lebih ramai lagi syarikat-syarikat korporat untuk tampil memberikan sumbangan pada masa hadapan.