Kempen Tabung Pahlawan 2020 sasar RM10 juta

Sumber: Berita Harian

PETALING JAYA, 19 OGOS 2020: Kutipan sebanyak RM10 juta disasarkan sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelbagai program dirangka bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

“Ada tiga objektif kempen ini iaitu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pengorbanan veteran tentera, meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan ketiga adalah untuk mengutip sumbangan bagi membantu veteran tentera kita.

“Tahun lalu kita sasar RM8 juta. Tahun ini kita menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM10 juta dan sumbangan ini akan disalurkan untuk membantu veteran tentera serta keluarga mereka yang memerlukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas di sini, hari ini.

Majlis pelancaran hasil kolaborasi Media Prima Berhad dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu disempurnakan oleh Penaung Kempen Tabung Pahlawan yang juga isteri Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, lebih 10,000 veteran tentera termasuk balu dan anak mereka dijangka menerima manfaat daripada tabung berkenaan.

Katanya, kerajaan juga menyediakan geran padanan kepada persatuan veteran sedia ada selain meningkatkan bantuan bencana kepada RM10,000 berbanding RM5,000 untuk ahli veteran.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat bersama menjayakan kempen ini manakala syarikat disarankan supaya menyumbang ke dalam Tabung Pahlawan.

“Berikutan situasi penularan COVID-19 dihadapi negara ketika ini, kita akan memperhebatkan lagi promosi kempen ini menerusi media.

“Saya berterima kasih kepada Media Prima Berhad yang sudi berkolaborasi dengan kita untuk menjayakan pelancaran kempen ini. Jadi saya berharap lebih banyak pihak tampil membantu menjayakan kempen ini,” katanya.

Pada majlis pelancaran itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM dan diserikan dengan nyanyian artis, Ning Baizura yang menyanyikan lagu berjudul Perwira ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar.