Kempen Tabung Pahlawan 2020 sasar kutipan RM10 juta

Sumber: Harian Metro

PETALING JAYA, 19 OGOS 2020: SEKURANG-KURANGNYA RM10 juta disasar dikutip menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang dilancarkan hari ini, khusus bagi menyalurkan bantuan buat lebih 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai program diatur bagi merealisasikan angka itu terutama menerusi hebahan secara agresif meliputi segala bentuk platform media termasuk media elektronik, media cetak dan media sosial.

“Sasaran tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu apabila pada 2019 kita cuma sasarkan RM8 juta, jadi kita memang menggiatkan usaha pada kali ini dan mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak baik individu, korporat, NGO (badan bukan kerajaan) dan sebagainya.

“Apa lagi dengan kekangan peraturan ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), segala bentuk peluang akan dimanfaatkan bagi meraih sebanyak mungkin sumbangan.

“Malah, alangkah baik jika sumbangan melebihi RM10 juta dapat dikumpulkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kempen itu memfokuskan tiga objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai pengorbanan veteran tentera, meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan mengutip sumbangan untuk disalurkan kepada veteran memerlukan.

Beliau yang juga pengerusi bagi kempen terbabit menjelaskan, ketika ini dianggarkan terdapat lebih 300,000 veteran ATM termasuk tidak mendaftar, justeru pihaknya melihat jumlah veteran lebih besar dapat dibantu menerusi tabung itu.

“Apabila saya membuat lawatan rasmi ke negeri, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan mengatur pertemuan saya dengan veteran yang mempunyai masalah seperti kesihatan, tempat tinggal dan sebagainya menerusi Program Cakna Veteran.

“Ini tidak termasuk veteran ditimpa bencana yang memerlukan bantuan segera dan seumpamanya. Dalam hal ini, saya melihat betapa pentingnya untuk kita kenang jasa veteran yang berkorban pada waktu dulu demi keamanan hari ini antaranya dengan menyalurkan bantuan seperti ini.

“Ada menganggap apabila negara aman, tentera tidak diperlukan lagi malah mengatakan tentera hari ini cuma makan dan tidur kerana tiada peperangan sedangkan mereka benteng pertahanan kita yang sentiasa bersedia, latihan diteruskan setiap hari seolah-olah esok akan berperang walaupun polisi kita tidak mahu berperang dengan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen terbabit di Sri Pentas, Petaling Jaya, hari ini, dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Majlis pelancaran hasil kolaborasi antara MPB dan JHEV ATM itu disempurnakan Penaung Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang juga isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan (Affin Bank 105950003021).

Pada majlis itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM dan diserikan dengan nyanyian artis, Ning Baizura yang menyanyikan lagu berjudul Perwira ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar.

Pada masa sama, Ismail Sabri menggesa veteran ATM yang masih belum mendaftar sebagai veteran dengan JHEV supaya berbuat demikian bagi menerima manfaat disediakan kerajaan untuk mereka.

“Baru-baru ini, kerajaan memberikan peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM500 untuk veteran yang turut diperluas kepada tidak berpencen.

“Namun disebabkan ramai tidak mendaftar, sumbangan ini tidak dapat disampaikan.

“Saya meminta veteran supaya berdaftarlah, kita ada 132 persatuan veteran yang boleh bantu mereka apabila bantuan RM500 ‘one off’ ini masih boleh kita bayar sehingga akhir bulan depan,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob, ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI