Dihujani ribuan peluru demi aset ATM

Sumber: Berita Harian

KANGAR: Pengalaman dihujani ribuan peluru komunis ketika menjalankan misi membawa pulang kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia sekitar tahun 1963 di Jalan Lundu, Sarawak masih tersemat di sanubari Sarjan (B) Ariffin Othman, 80.

Beliau dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera (KJLJ) Diraja yang ketika itu berusia 23 tahun berkata, kenangan itu sama sekali tidak akan dilupakannya meskipun unit yang disertainya itu tidak begitu popular berbanding unit infantri yang lain.

Ariffin berkata, bagaimanapun cabaran dan risiko yang perlu dihadapinya tetap sama seperti anggota tentera yang lain kerana selagi individu terbabit mengenakan uniform tentera, selagi itulah peluru musuh tidak mengenal sasarannya.

Mengimbas kembali peristiwa 57 tahun lampau, Ariffin berkata ketika itu beliau bersama dua lagi anggota KJLJ diiring satu platun seramai 30 anggota unit infantri dari Batalion 1 Rejimen Renjer Diraja, Kem Semanggang, Sri Aman ditugaskan untuk membaiki dan bawa pulang sebuah kereta perisai yang terkandas akibat diserang hendap oleh pasukan tali barut komunis.

“Ketika menghampiri kawasan berkenaan ribuan peluru musuh menghujani sehingga kami terpaksa mencari tempat perlindungan dan berlindung selama satu jam sebelum pasukan musuh berundur.

“Misi dan objektif kami ketika itu umpama dua dalam satu kerana perlu membaiki dan membawa pulang aset kerajaan ke kem disamping menahan serangan hendap musuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Behor Lateh di sini, hari ini.

“Alhamdulillah saya selamat dan berjaya menjalankan misi yang diamanahkan pemerintah namun sedih kerana sebelum kami tiba di kawasan terbabit pasukan awal daripada kami berhempas pulas menahan serangan sebelum bantuan tiba.

“Ditambah pula keadaan anggota yang tercedera ketika itu begitu menyayat hati kerana misi membawa pulang kenderaan perisai bukanlah satu tugasan yang mudah selain perlu berperang dengan musuh pada masa yang sama,” katanya.

Ariffin berkata, generasi masa kini perlu berusaha mempertahankan negara dari diancam musuh baik dari segi ancaman fizikal dan pemikiran.

“Musuh sentiasa memerhati, sebagai anggota keselamatan dan sebagai rakyat jadilah individu yang bertanggungjawab dan amanah demi negara.

“Anda tidak merasai peritnya pengorbanan demi negara. Jagalah keamanan dan kemerdekaan yang diperjuangkan generasi sebelum ini,” katanya.