Cadang beri elaun bulanan kepada penerima PJM

Sumber: Harian Metro

KEMENTERIAN Pertahanan bercadang memberikan elaun bulanan kepada kira-kira 29,000 penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas kerja cadangan berkenaan akan disiapkan dalam masa terdekat sebelum dibawa ke kabinet untuk dibentangkan.

Katanya, ketika ini penerima PJM hanya diberikan pingat dan sijil bagi mengenang jasa dan pengorbanan besar mereka kepada negara.

“Setakat hari ini, terdapat lebih 121,000 anggota veteran tentera layak menerima PJM yang mana dari jumlah itu, seramai 29,000 anggota sudah menerima anugerah yang dilaksanakan sejak 2004.

“Anggota veteran yang menerima PJM hanya terima pingat tetapi tiada elaun bulanan untuk sara hidup.

“Kita cuba memohon kepada kerajaan elaun bulanan untuk penerima PJM. Kita cadangkan antara RM300 hingga RM350 sebagai menunjukkan tanda prihatin dan penghargaan walaupun kita tahu RM300 bukan nilai yang besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Johor di Ulu Tiram, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 350 veteran Angkatan Tentera Malaysia menerima pingat PJM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 7:57 PM